Dia menyebut namamu

Monday 6 February 2012

Cinta. Suatu ungkapan yang sungguh menakjubkan. Bisa mengubah dunia daripada sebuah gurun yang gersang kepada sebuah taman fantasi milik sang bunian. Tak terzahir dengan kata-kata. Tak tergambar dengan seluruh lukisan alam. Ia mendiami hati kita dalam diam. Ia timbul tatkala tidak diharapkan. Ia menghilang bila selalu diseru. Sungguh pelik, namun juga ajaib. Andai sudah merasai cinta, lautan api terasa dingin umpama dibelai curahan air terjun yang  turun menderu.

Mari kita selami kehangatan cinta. Bersempena hari kekasih yang bakal tiba, bayangkan andai ada seseorang yang sangat mencintai anda. Perasaan cintanya terhadap anda yang sungguh tulus, bergemerlapan umpama kilauan mutiara. Dia tidak meluahkan cintanya di hadapan anda tetapi benar, dia sangat mencintai anda. Hinggakan di sebalik pengetahuan anda, dia merealisasikan janji cintanya. Berjuang demi cinta! Memerangi semua yang cuba menghalang cintanya terhadap diri anda. Dia sanggup mengganti dirinya untuk menanggung kesakitan anda ketika diri anda di ambang maut. Dia sentiasa memikirkan kebahagiaan anda walaupun dia sendiri derita. Dia rela dikeji dan dihina asalkan anda dimuliakan. Dan juga sanggup berkorban jiwa dan harta asalkan anda tidak sengsara.

Alangkah syahdunya! Andai ada insan sebegitu, pasti dunia ini kelihatan berputar indah dan berwarna-warni dengan warna pelangi yang cantik. Biarlah semua insan di dunia ini hilang asalkan si dia tetap di sisi anda. Namun adakah insan yang sebegitu dalam kehidupan realiti?

Sukar. Sesungguhnya amat susah untuk menemui cinta sejati sebegitu. Namun percayalah wahai kawan-kawan. Be positive! Pencinta yang sempurna itu memang ada. Cuba anda lihat sekeliling. Dia memang wujud. Rasa cintanya tak pernah hilang. Api nyalanya tak kunjung padam. Mana mungkin anda tidak menyedarinya kerana cahaya cintanya seterang mentari.

Dia melihat anda dari kejauhan walaupun dia sebenarnya amat dekat. Di hatinya cuma terlakar wajah anda. Di fikirannya cuma terbias senyuman anda.  Di mulutnya sentiasa terzikir dengan nama anda. Sedarkah anda? 

Ya, akhirnya anda sedar. Anda sedar tentang perasaan cintanya. Dapat merasainya walaupun tidak mampu menyentuhnya. Namun sudah terlewat. Si dia telah pergi. Ketika anda disuntik sedar, dia terlebih dahulu dijemput Izrail. Tak perlu menangis. Tak usah bergerimis. Biarpun cintanya tidak berbalas, dia tetap mencintai anda. Perginya tanpa kecewa, tetapi dia tetap bimbangkan anda. Sama ada anda akan mengecapi bahagia atau terus-terusan celaka. Kerana itulah dia pergi menyambut kematian dengan alunan nama anda di bibirnya.

Biar darahnya menjadi saksi kecintaannya terhadap anda. Biarpun sudah tiada gunanya lagi, sekurang-kurangnya hormatilah perasaan cintanya. Bukan kepada sesiapa, tetapi sebagai hadiah kepada diri anda sendiri! Ingatilah dirinya. Berdoalah agar dirinya dan anda dipertemukan di syurga. Pahatkan namanya di hati kecil anda. Sayanginya sepenuh jiwa anda. Moga usaha yang tidak seberapa ini mempunyai makna yang sangat besar kepada dirinya di alam sana. Sebutlah namanya selalu di celahan bibir anda. Lafazkan namanya sentiasa di hati anda...............Namanya? Tahukah anda namanya?




Muhammad ! Muhammad Rasulullah S.A.W. itulah namanya. Bersempena hari kekasih agung pada tahun ini, kita sudah amat bertuah kerana menyedari cintanya yang amat suci. Balaslah cintanya. Jangan bertangguh lagi. Jangan biarkan ia benar-benar terlewat. Jangan kita pandang langit barat yang bercahaya mentari pagi dengan titisan air mata putus asa. Lirikkan namanya dengan ikhlas dan penuh tawajuh. Zikirkan selawat kepadanya kerana dia tak pernah sekali-kali melupakan anda. Dia tak pernah terlupa untuk menyeru nama anda. Hingga ke akhir hayatnya, dia menyebut nama anda......Ummati!...Ummati!

SELAMAT MENYAMBUT HARI KELAHIRAN KEKASIH KITA! 12 RABIUL AWAL 1433 HIJRAH BERSAMAAN 5 FEBRUARI 2011. SALAM MAULIDUR RASUL.

Lakaran Hati dari Al-Faqir wa Al-Haqir,
Mohamad Iimran Zainal Abidin

*beliau merupakan Presiden KRL bagi sesi 2012-2013

0 comments:

::Basahkan lidahmu::

>ucapan yang ringan dimulut, tapi, berat timbangannya di akhirat kelak

'Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakhbar'

::Motivasi::

Dari Umar bin Khattab ra berkata, beliau mendengar Rasulullah saw bersabda;

'Sekiranya kalian benar-benar bertawakkal kepada Allah swt, dengan tawakkal yang sebenar-benarnya, sungguh kalian akan
diberi rezeki sebagaimana seekor burung diberi rezeki, ia pergi di pagi hari dalam keaadaan lapar dan pulang pada petang hari dalam keaadaan kenyang'

Hadis riwayat Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Majah

::Ayat-ayat cinta::

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kalian agamakalian, dan Aku sempurnakan nikmat-Ku atas kalian dan Aku ridha Islam sebagai agama kalian.” (Al-Maidah: 3)

  © Free Blogger Templates Nightingale by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP